PERUTUSAN


Perutusan Tuan Komandan


Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan selamat datang dan terima kasih kepada pengunjung kerana sudi melayari Laman Web Sukarelawan Polis Kontinjen Selangor. Kami sentiasa mengalu – alukan penglibatan langsung rakyat dalam usaha mencegah dan membanteras jenayah, malahan lawatan anda ke laman web ini boleh dianggap tindakan permulaan dalam usaha membasmi jenayah di kawasan kejiranan anda.

Tujuan laman web ini diadakan adalah untuk membolehkan masyarakat awam lebih memahami peranan Pasukan Sukarelawan PDRM Selangor. Ianya juga diharapkan mampu menjadi pemangkin bagi meningkatkan kerjasama masyarakat awam dengan pihak Polis dalam usaha untuk membendung peningkatan kegiatan jenayah khususnya di negeri Selangor.

Pada amnya, tujuan Pasukan Sukarelawan Polis ditubuhkan adalah bagi membolehkan orang awam terlibat secara langsung dalam usaha pencegahan dan membanteras jenayah. Ianya merupakan sayap sokongan kepada Polis Di-Raja Malaysia dalam menjalankan peranan yang aktif bagi mengekalkan keamanan dan penguatkuasaan undang - undang.

Ahli Pasukan SPDRM Selangor terdiri daripada pegawai dan anggota yang mempunyai prinsip dan integriti yang tinggi. Mereka ini komited, berdisiplin tinggi, ikhlas dan jujur dalam menjalankan tugas. Selain dari itu, sikap terbuka, semangat setiakawan yang tinggi, peramah dan sensitif terhadap kebudayaan & agama diterapkan agar hubungan baik dengan masyarakat awam dapat dikekalkan dalam usaha menjaga keselamatan & menguatkuasakan undang – undang.

Mereka ini datangnya dari pelbagai lapisan masyarakat, pelbagai profesyen dan pelbagai latar belakang sosio-ekonomi, antaranya pegawai - pegawai kerajaan, peguam, pensyarah, jurutera, guru, usahawan dan macam - macam lagi. Adalah diharapkan lebih ramai rakyat Malaysia, terutamanya warga Selangor dari golongan professional berminat untuk menyertai Pasukan Sukarelawan Polis.

Dengan adanya laman web ini, saya berharap ianya mampu bertindak sebagai wadah yang menjelaskan peranan SPDRM Selangor dan menjadi jambatan yang merapatkan hubungan masyarakat awam, khususnya warga  Selangor dengan SPDRM Selangor dalam usaha mengekalkan keamanan dan keharmonian Negara yang tercinta.

Wasallam
ASP/SP Haji Saleh Bin Arshad
Komandan Sukarelawan Polis Kontinjen Selangor